RM58 Juta Untuk Bina Jalan Pulau Banggi
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM58 juta   bagi membina jalan raya di Pulau Banggi untuk memastikan keselesaan   penduduk di pulau berkenaan.  Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, YB   Datuk Mohd Nasir Baba berkata, peruntukan di bawah Kementerian Kemajuan   Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu membabitkan  pembinaan jalan raya   sejauh 25 kilometer merangkumi sembilan buah jambatan dari Kapitangan ke   Dogotan.  Beliau berharap, selain dinikmati oleh penduduk, diharap   kemudahan infrastruktur itu akan merancakkan lagi kemajuan di pulau   ini.  Nasir berkata, peruntukan besar yang disediakan Kerajaan   Persekutuan melalui KKLW adalah bagi memastikan Pulau Banggi dilengkapi   dengan kemudahan infrastruktur seperti tempat-tempat lain.
Menurutnya, pembinaan jalan raya itu sendiri adalah penting dan   seiring dengan perkembangan Pulau Banggi yang giat membangun termasuk   dari sudut pelancongan.  Beliau berkata, projek tersebut dilihat memberi   banyak faedah kepada penduduk di Pulau Banggi terutama golongan  belia.   Katanya, dengan adanya projek ini dapat membuka peluang  pekerjaan yang  lebih banyak sekali gus dapat meningkatkan ekonomi para  penduduk di  situ.  Beliau berkata demikian pada satu majlis penyampaian  sumbangan  kepada penduduk Pulau Banggi baru-baru ini.  Hadir sama,  Ahli Dewan  Undangan Negeri (Adun) Pulau Banggi, Abdul Mijul Unaini dan  Pengurus  FELCRA Wilayah Sabah, Samian Mohd Ali serta 96 peserta Lembaga  Penyatuan  dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) di pulau tersebut.  Dalam pada  itu, Nasir mengingatkan para peserta FELCRA  di Daerah Kudat  supaya  mengutamakan aspek pendidikan dengan memastikan anak-anak  mereka  dihantar ke sekolah demi masa depan yang lebih baik.  (
KK5:  22 Jun 2010 – Oleh:  Jawlinda Zeno Jawi)
 
Dilengkapi Prasarana Moden
Seiring dengan pembangunan semasa, penduduk-penduduk di   Pulau Banggi yang dahulunya ketandusan kemudahan asas dan awam kini   menarik nafas lega kerana kawasan itu dipilih sebagai tapak bagi projek   Agropolitan. Demi meningkatkan taraf ekonomi kehidupan penduduk di  pulau  itu, projek Agropolitan telah berupaya membangunkan masyarakat di   kepulauan ini secara berperingkat-peringkat. Semenjak dilancarkan dua   tahun yang lalu, penduduk Pulau Banggi yang dahulunya dikenal pasti   hidup dalam kelompok kemiskinan tegar kini hidup selesa menerima bekalan   tenaga elektrik selama 24 jam tanpa henti bermula pada awal bulan Mac   yang lalu. Menurut Penyelia Perpustakaan Pulau Banggi, Azman Abdul   Latip, bekalan tenaga elektrik diperoleh oleh penduduk sekitar Pulau   Banggi menerusi sistem solar hibrid yang dibangunkan di situ oleh   Perbadanan Elektrik Sabah.
Menurut beliau, masyarakat Pulau Banggi yang rata-ratanya nelayan dan   petani kecil turut menikmati kemudahan air bersih semenjak empat bulan   lalu. Katanya, hampir keseluruhan penduduk di kepulauan itu tidak lagi   menggunakan air perigi atau lebih dikenali sebagai “air milo” di   kalangan masyarakat tempatan setelah Kementerian Kemajuan Luar Bandar   (KKLW) meluluskan peruntukkan bagi membina paip retikulasi kira-kira   sejauh 36 km. Menurutnya lagi, paip retikulasi menyediakan empangan air,   tangki air, logi air dan rawatan air dan ia mampu membekalkan air   bersih ke sembilan buah kampung di pulau tersebut.
“Di samping itu, penduduk-penduduk di Pulau Banggi akan menikmati   kehidupan yang lebih selesa setelah projek pembinaan 200 buah unit rumah   yang bernilai RM32,000 sebuah berjaya disiapkan nanti. Kawasan   perumahan itu akan dilengkapi kemudahan awam seperti surau, kompleks   komuniti desa, tapak niaga dan padang bola”, kata Azman dengan nada yang   begitu bangga.
Sejak Projek Agropolitan Pulau Banggi yang dibangunkan pada   pertengahan tahun 2007, sebanyak 346 peluang pekerjaan telah diwujudkan.   Salah satu daripadanya ialah membina sebanyak 400 buah sangkar ikan   yang bernilai RM11 juta. Secara keseluruhannya, projek ini telah   mewujudkan peluang-peluang ekonomi secara mapan dan terancang dan   meningkatkan liputan serta kualiti prasarana asas, utiliti, ameniti dan   kemudahan sosial. 
(Dikemas kini: 18 Jun 2009 – Oleh: Noraini Mahyan)
 
Keperluan Penduduk
Kemudahan asas yang terdapat di Pulau Banggi ialah  bekalan tenaga  elektrik solar yang hanya mampu membekalkan tenaga  elektrik kepada  penduduk bermula dari pukul 6.00 petang hingga 6.00  pagi. Namun  demikian, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9),  peruntukan  untuk membina lebih banyak alat tenaga solar elektrik telah  disalurkan  di Pulau Banggi melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan  Wilayah  (KKLW). Projek tersebut masih lagi dalam proses pembinaan dan  dijangka  siap penghujung 2009. Apabila projek tersebut siap sepenuhnya,  penduduk  Pulau Banggi boleh menikmati tenaga elektrik untuk tempoh 24  jam setiap  hari.
Selain itu, kebanyakan jalan di Pulau Banggi  kini sedang  dalam proses penurapan agar segala urusan penduduk kampung  di sekitar  Pulau Banggi menjadi mudah. Kerajaan telah berusaha  meningkatkan taraf  kemudahan asas yang terdapat di pulau ini agar  penduduk mampu menikmati  kemudahan asas seperti di tempat-tempat lain  di negeri Sabah. 
Kemudahan  awam lain yang disediakan di sekitar  Pulau Banggi juga meliputi pondok  menunggu bas, masjid, surau, balai  raya, tadika, sekolah rendah, klinik  kesihatan, dewan serba guna dan  perpustakaan desa. Tiada bayaran yang  dikenakan untuk menggunakan  kemudahan awam di sini. Jawatankuasa  Kemajuan dan Keselamatan Kampung  (JKKK) menganggap usaha memodenkan desa  dilaksanakan bagi memastikan  penduduk tidak ketinggalan menerima arus  pembangunan