RM58 Juta Untuk Bina Jalan Pulau Banggi
Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM58 juta bagi membina jalan raya di Pulau Banggi untuk memastikan keselesaan penduduk di pulau berkenaan. Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, YB Datuk Mohd Nasir Baba berkata, peruntukan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu membabitkan pembinaan jalan raya sejauh 25 kilometer merangkumi sembilan buah jambatan dari Kapitangan ke Dogotan. Beliau berharap, selain dinikmati oleh penduduk, diharap kemudahan infrastruktur itu akan merancakkan lagi kemajuan di pulau ini. Nasir berkata, peruntukan besar yang disediakan Kerajaan Persekutuan melalui KKLW adalah bagi memastikan Pulau Banggi dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur seperti tempat-tempat lain.
Menurutnya, pembinaan jalan raya itu sendiri adalah penting dan seiring dengan perkembangan Pulau Banggi yang giat membangun termasuk dari sudut pelancongan. Beliau berkata, projek tersebut dilihat memberi banyak faedah kepada penduduk di Pulau Banggi terutama golongan belia. Katanya, dengan adanya projek ini dapat membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak sekali gus dapat meningkatkan ekonomi para penduduk di situ. Beliau berkata demikian pada satu majlis penyampaian sumbangan kepada penduduk Pulau Banggi baru-baru ini. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Banggi, Abdul Mijul Unaini dan Pengurus FELCRA Wilayah Sabah, Samian Mohd Ali serta 96 peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) di pulau tersebut. Dalam pada itu, Nasir mengingatkan para peserta FELCRA di Daerah Kudat supaya mengutamakan aspek pendidikan dengan memastikan anak-anak mereka dihantar ke sekolah demi masa depan yang lebih baik. (KK5: 22 Jun 2010 – Oleh: Jawlinda Zeno Jawi)Dilengkapi Prasarana Moden
Seiring dengan pembangunan semasa, penduduk-penduduk di Pulau Banggi yang dahulunya ketandusan kemudahan asas dan awam kini menarik nafas lega kerana kawasan itu dipilih sebagai tapak bagi projek Agropolitan. Demi meningkatkan taraf ekonomi kehidupan penduduk di pulau itu, projek Agropolitan telah berupaya membangunkan masyarakat di kepulauan ini secara berperingkat-peringkat. Semenjak dilancarkan dua tahun yang lalu, penduduk Pulau Banggi yang dahulunya dikenal pasti hidup dalam kelompok kemiskinan tegar kini hidup selesa menerima bekalan tenaga elektrik selama 24 jam tanpa henti bermula pada awal bulan Mac yang lalu. Menurut Penyelia Perpustakaan Pulau Banggi, Azman Abdul Latip, bekalan tenaga elektrik diperoleh oleh penduduk sekitar Pulau Banggi menerusi sistem solar hibrid yang dibangunkan di situ oleh Perbadanan Elektrik Sabah.
Menurut beliau, masyarakat Pulau Banggi yang rata-ratanya nelayan dan petani kecil turut menikmati kemudahan air bersih semenjak empat bulan lalu. Katanya, hampir keseluruhan penduduk di kepulauan itu tidak lagi menggunakan air perigi atau lebih dikenali sebagai “air milo” di kalangan masyarakat tempatan setelah Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW) meluluskan peruntukkan bagi membina paip retikulasi kira-kira sejauh 36 km. Menurutnya lagi, paip retikulasi menyediakan empangan air, tangki air, logi air dan rawatan air dan ia mampu membekalkan air bersih ke sembilan buah kampung di pulau tersebut.“Di samping itu, penduduk-penduduk di Pulau Banggi akan menikmati kehidupan yang lebih selesa setelah projek pembinaan 200 buah unit rumah yang bernilai RM32,000 sebuah berjaya disiapkan nanti. Kawasan perumahan itu akan dilengkapi kemudahan awam seperti surau, kompleks komuniti desa, tapak niaga dan padang bola”, kata Azman dengan nada yang begitu bangga.
Sejak Projek Agropolitan Pulau Banggi yang dibangunkan pada pertengahan tahun 2007, sebanyak 346 peluang pekerjaan telah diwujudkan. Salah satu daripadanya ialah membina sebanyak 400 buah sangkar ikan yang bernilai RM11 juta. Secara keseluruhannya, projek ini telah mewujudkan peluang-peluang ekonomi secara mapan dan terancang dan meningkatkan liputan serta kualiti prasarana asas, utiliti, ameniti dan kemudahan sosial. (Dikemas kini: 18 Jun 2009 – Oleh: Noraini Mahyan)
Keperluan Penduduk
Kemudahan asas yang terdapat di Pulau Banggi ialah bekalan tenaga elektrik solar yang hanya mampu membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk bermula dari pukul 6.00 petang hingga 6.00 pagi. Namun demikian, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), peruntukan untuk membina lebih banyak alat tenaga solar elektrik telah disalurkan di Pulau Banggi melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Projek tersebut masih lagi dalam proses pembinaan dan dijangka siap penghujung 2009. Apabila projek tersebut siap sepenuhnya, penduduk Pulau Banggi boleh menikmati tenaga elektrik untuk tempoh 24 jam setiap hari.Selain itu, kebanyakan jalan di Pulau Banggi kini sedang dalam proses penurapan agar segala urusan penduduk kampung di sekitar Pulau Banggi menjadi mudah. Kerajaan telah berusaha meningkatkan taraf kemudahan asas yang terdapat di pulau ini agar penduduk mampu menikmati kemudahan asas seperti di tempat-tempat lain di negeri Sabah.
Kemudahan awam lain yang disediakan di sekitar Pulau Banggi juga meliputi pondok menunggu bas, masjid, surau, balai raya, tadika, sekolah rendah, klinik kesihatan, dewan serba guna dan perpustakaan desa. Tiada bayaran yang dikenakan untuk menggunakan kemudahan awam di sini. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menganggap usaha memodenkan desa dilaksanakan bagi memastikan penduduk tidak ketinggalan menerima arus pembangunan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan